Salik Dan Suluk
March 5, 2009
Ciri-ciri Dan Doktrin Munafik
March 5, 2009
Salik Dan Suluk
March 5, 2009
Ciri-ciri Dan Doktrin Munafik
March 5, 2009

27. Ciri-ciri Dan Doktrin Nabi Palsu

Nabi Muhammad s.a.w terkenal di seluruh Tanah Arab, sampai ke Yamamah. Baginda s.a.w dikenali sebagai Utusan Allah dan seorang pemimpin yang agung menguasai sebuah kerajaan yang besar dan kuat. Kemuliaan dan kebesaran baginda s.a.w bertapak dalam hati orang ramai. Salah seorang yang mengagungkan kebesaran Nabi Muhammad s.a.w itu adalah Musailima bin Habib dari Banu Hanifah yang tinggal di Yamamah. Musailima bukanlah seorang yang berkedudukan mulia dalam puaknya. Dia lebih merupakan orang suruhan yang melakukan kerja-kerja menurut arahan golongan atasan dalam puaknya. Ketika rombongan Banu Hanifah berangkat ke Madinah untuk berjumpa dengan Nabi Muhammad s.a.w, Musailima dibawa bersama. Dia ditugaskan mengangkat barang-barang dan menjaga serta memberi makan haiwan tunggangan. Rombongan Banu Hanifah berhenti di luar kota Madinah. Musailima tinggal menjaga barang-barang sementara ahli rombongan yang lain memasuki kota Madinah untuk menemui Rasulullah s.a.w. Rombongan Banu Hanifah itu telah memeluk Islam di hadapan Rasulullah s.a.w. Sebagai tanda persahabatan Islam, Rasulullah s.a.w memberikan mereka beberapa hadiah. Mereka juga telah menceritakan tentang salah seorang daripada mereka yang berada di luar kota Madinah menjaga barang-barang mereka. Rasulullah s.a.w berkenan juga memberikan hadiah kepada orang Banu Hanifah yang menjaga barang-barang itu sambil baginda s.a.w bersabda yang maksudnya: “Dia bukan lebih hina daripada kamu”. Rasulullah s.a.w secara lembut menegur orang-orang Banu Hanifah bahawa tidak baik jika salah seorang daripada mereka yang merdeka diberi layanan sebagai budak suruhan. Mereka tidak seharusnya merendahkan sesama sendiri.

Setelah kembali ke tempat barang-barang ditinggalkan, mereka yang telah berjumpa dengan Rasulullah s.a.w telah memberikan hadiah kiriman baginda s.a.w kepada Musailima. Mereka menceritakan apa yang telah dikatakan oleh baginda s.a.w. Pemberian hadiah, diiringi oleh kata-kata yang baik daripada seorang pemimpin yang sangat agung telah menimbulkan kejutan dalam jiwa Musailima yang selama ini tidak pernah dipandang mulia oleh kaumnya. Hatinya mengulangi kata-kata baik yang diucapkan mengenainya itu. Dia merenung dirinya sendiri yang mendapat perhatian daripada seorang Rasul dan pemerintah yang begitu mulia. Tentu sekali perhatian diberikan kepadanya kerana dia juga seorang yang mulia. Semakin dia merenung dirinya semakin dia menjadi asyik dengan dirinya. Rasa kemuliaan diri timbul dalam dirinya, semakin lama semakin kuat. Musailima menjadi asyik mahsyuk dengan dirinya sendiri.

Keasyikan kepada diri sendiri merupakan pintu masuk kepada alam gelap yang membentuk misal diri yang mulia. Musailima telah dibawa kepada penggoda-penggoda alam gelap dan akhirnya dia menemui apa yang telah ditemui oleh Petrus, penganut agama Nasrani. Petrus telah ditabalkan oleh iblis menjadi nabi. Musailima juga menerima pertabalan tersebut. Petrus bersekutu dengan Isa al-Masih. Musailima bersekutu dengan Nabi Muhammad s.a.w. Petrus menerima ‘wahyu’ dari iblis. Musailima juga menerima yang demikian. Petrus mengaku menjadi nabi. Musailima juga mengaku menjadi nabi. Bertambahlah bilangan nabi-nabi palsu yang ditabalkan oleh iblis.

Pada zaman Nabi Muhammad s.a.w selain Musailima ada dua orang lagi yang mengaku menjadi nabi. Mereka adalah Thulaihah al-Asadi dan seorang wanita Banu Tamim bernama Sajjah. Tiga orang nabi-nabi palsu itu diperangi oleh Khalifah Abu Bakar as-Siddik kemudian hari nanti. Kaum Muslimin mengetahui bahawa mereka adalah nabi-nabi palsu, tetapi ke tiga-tiga mereka tidak tahu yang diri mereka adalah nabi-nabi palsu. Mereka benar-benar percaya bahawa mereka adalah nabi. Musailima yakin bahawa dirinya bersekutu dan bersatu dengan Nabi Muhammad s.a.w dan dia lebih mulia daripada Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali.

Bermula dengan keasyikan dengan diri sendiri Petrus, Musailima, Thulaihah dan Sajjah membangkitkan keegoan roh haiwani mereka. Satu medan alam ghaib di bawah bumbung langit dunia terbuka kepada roh haiwani mereka yang dikenderai oleh ego diri. Mereka masuk ke dalam Alam Misal gubahan iblis. Dalam Alam Misal tersebut mereka menyaksikan keagungan, kemuliaan dan kesempurnaan diri mereka sendiri melebihi segala kewujudan. Apabila mereka sudah merasakan diri mereka melebihi daripada segala sesuatu mereka pun ditabalkan oleh iblis menjadi nabi-nabi, iaitu utusan iblis bagi menyebarkan ajaran sesat kepada umat manusia. Tuhan mereka adalah diri mereka sendiri dan syariat mereka adalah hawa nafsu. Nabi-nabi iblis itu akan menanggalkan kehambaan, menghalalkan arak, judi dan zina. Mereka menggugurkan kewajipan sembahyang lima waktu, puasa dan zakat. Apa sahaja yang dinamakan syariat Islam bagi mereka adalah kosong, tidak ada faedahnya. Amalan agama yang mereka bawa sangat bersesuaian dengan kehendak hawa nafsu.

Nabi-nabi iblis akan muncul dari masa ke masa. Mereka akan merombak peraturan syariat dan Sunah. Mereka membawa cerita-cerita ganjil yang mengelirukan. Mereka meletakkan al-Quran di bawah tapak kaki mereka dan meletakkan ceritera daripada iblis di atas kepala mereka. Sifat yang nyata lahir daripada mereka adalah ujub dan riak. Mereka mendakwa bahawa merekalah yang paling benar, paling bermakrifat.

Nabi palsu berbeza daripada orang munafik. Orang munafik memutar-belitkan agama tanpa membawa satu bentuk kepercayaan khusus sebagai alternatif. Orang munafik tidak mempunyai pendirian yang tetap. Asal sahaja mereka dapat memesungkan yang benar mereka sudah berpuas hati. Nabi palsu pula membawa agama alternatif dengan menggunakan istilah agama yang sudah ada. Mereka mempunyai kepercayaan dan pegangan yang khusus. Ada amalan tertentu yang mereka titik beratkan.

Munafik hanya bersandar kepada hukum akal dan logik lahiriah. Nabi palsu pula menutup pintu akal dan membuka prinsip mengimani sumber ghaib yang berhubungan dengan mereka. Munafik memperbanyakkan hujah. Nabi palsu membentuk kepercayaan tanpa hujah. Setiap munafik bebas meminda agama menurut kehendak individu. Pengikut nabi palsu pula berpegang bulat kepada apa yang dikatakan oleh ketua mereka yang dipercayai sebagai nabi itu. Kedua-dua golongan tersebut akan membina jalan-jalan yang selari dengan jalan yang lurus dan mereka akan mencuba menarik umat Islam supaya masuk kepada jalan mereka. Orang yang tergelincir kepada jalan munafik dan jalan nabi palsu masih merasakan yang dia berada pada jalan yang lurus.

Gerakan Musailima tidak mendapat pengaruh ketika Nabi Muhammad s.a.w masih hidup. Setelah Rasulullah s.a.w wafat puak yang ingin lari daripada pemerintahan Madinah telah memberi sokongan kepada Musailima tetapi mereka dapat dikalahkan oleh kaum Muslimin yang dipimpin oleh Saidina Abu Bakar as-Siddik.