Bukit Abal Kelantan
March 5, 2009
Muhammad Said Al Linggi
March 5, 2009
Bukit Abal Kelantan
March 5, 2009
Muhammad Said Al Linggi
March 5, 2009

Ahmadiah Negeri Sembilan

Qutubul Rais Sultanus salatin- Sidi Ahmad Idris
Qutubul Samadani _Sidi Sheikh Ibrahim Rashid
Qutubul Rawi- Sidi Muhammad Dandarawi
Qutubul Kabiir- Sidi Shiekh Said AlLinggi.

Kerabat Syeikh Haji Mohd Said Al Linggi

Sheikh Haji Jamaludin Haji Idris ( 1814- 1887 )

Dalam tahun hijrah 1231 bersamaan tahun masihi 1814, lahirlah seorang anak lelaki yang kemudiannya terkenal dengan nama Tuan Sheikh Haji Jamaludin Haji Idris bin Haji Mokmin bin Nakhoda. Sesetengah orang memanggilnya Sheikh Indin, nasab keturunan sebelah bapanya sampai kepada Daeng Kemboja anak Raja Bugis yang bermukim di Linggi ( sebelum itu dikenali Kuala Penagim).

Dijangkakan Daeng Kemboja berada di Linggi antara tahun 1753 – 1759 kerana menempatkan angkatan tenteranya untuk menyerang penjajah Belanda di Melaka. Bapanya Haji Idris anak kepada Hajjah Rahimah binti Khatib Musa bin Amaludin bin Awaludin @ Dato’ Awal bin Faqih @ Daeng Abdul Malik adalah seorang alim yang hampir separuh umurnya berada di tanah suci Mekah Al Mukarramah kerana menuntut ilmu. Haji Idris dikatakan keturunan Minangkabau- Bugis – Linggi. Isteri Khatib bernama Zalikha anak kepada pembesar Kampung Semabuk, Minangkabau. Awaludin pula dikatakan sebagai peneroka Daerah Linggi ( 1783) Negeri Sembilan. Suami Hajah Rahimah iaitu Haji Abdul Mu’min Linggi bin Sheikh Muhamad Nakhoda Minangkabau bin Ahmad bin Umar bin Saleh bin Abdullah berasal dari Hadramaut, bertali nasab pula sampai kepada Saidina Abdullah bin Abas, sepupu Rasulullah s.a.w.

Sheikh Jamaludin dibawa bapanya ke Mekah dan mengaji di sana. Beliau diberi kepercayaan untuk mengajar di Masjidil Haram. Di tanah suci itu beliau berkahwin dengan Hajah Safiah binti Haji Mohd Saleh. Isterinya dikatakan seorang pembaca al Quran yang baik bacaannya dan pernah menjadi guru Qira’at al Quran di Mekah.

Sheikh Jamaludin balik ke tanahair dalam masa pemerintahan Dato’ Luak Kelana Sendeng dalam tahun 1850 – 1872. Dalam zaman Dato’ Kelana Syed Abdul Rahman dalam tahun 1872 – 1881 berbagai peristiwa berlaku dalam politik negeri dan permasalahan agama. Dalam tahun 1880 Lukut telah diserahkan semula oleh Selangor. Kepercayaan khurafat dan tahyul juga begitu menebal di kalangan masyarakat setempat.

Sheikh Jamaludin berpegang teguh dalam hukum agama dan berani menyampaikan dakwahnya walaupun kadangkala bertentangan dengan Dato’ Kelana. Satu tindakan bijaknya ialah membenteras buta huruf dalam masyarakat. Melalui tindakan ini ramailah penduduk yang boleh membaca dan menulis jawi serta memudahkan pengajian agama disampaikan. Pendidikan agama yang dititik beratkan terlebih dahulu ialah pelajaran fardhu ain.

Antara murid-murid yang alim hasil dari tarbiah secara langsung dari tokoh ini ialah anaknya sendiri Sheikh Haji Muhamad Said, anak saudaranya Lebai Abbas Zakaria dan Haji Mustaffa Haji Ahmad. Orang alim ini kembali ke Rahmatullah dalam tahun 1304 Hijrah kira-kira tahun 1887 Masihi ketika berusia 73 tahun. Beliau dimakamkan di Linggi.

LEBAI ABBAS ZAKARIA ( 1862 – 1926 )
Pengenalan
Lebai ini dilahirkan dalam tahun 1862 ( 1279H) dari keturunan Dato’ Muda Linggi. Orangnya dikatakan bijak dan mudah menerima pelajaran. Nama penuhnya ialah Abbas bin Zakaria. Dia belajar agama dengan Tuan Sheikh Haji Jamaluddin Haji Idris dan juga dengan anaknya Sheikh Muhamad Said. Walaupun, Lebai lebih tua dari Sheikh Muhamad Said tetapi itu tidak menghalang beliau untuk menuntut ilmu. Allahyarham Lebai Abbas juga tidak segan mendapatkan ilmu dari Haji Mustaffa Haji Ahmad yang telah ke Mekah menuntut ilmu selama 23 tahun.
Membuka Sekolah
Lebai Abbas sebelum itu dikenali sebagai Cikgu Abbas kerana dia telah membuka Sekolah Melayu Linggi dalam tahun 1880an, sekolah ini dikelolakan sepenuhnya oleh orang ramai ketika itu. Dalam menguruskan sekolah, beliau juga mendalami ilmu agama dari tokoh-tokoh ulama sekampungnya. Akhirnya, Lebai Abbas menjadi alim dan sempat mengajar agama pula di beberapa buah masjid dan surau dalam Luak Sungai Ujung.
Meninggal Dunia
Lebai Abbas meninggal dunia ketika usianya 64 tahun dalam bulan Disember 1926 bersamaan J’akhir 1345. Nama beliau masih disebut orang lantaran jasanya dalam memberi pendidikan dan dakwah kepada masyarakat. Semoga Allah SWT jua memberi rahmat dan kedudukan yang baik ke atas ruhnya. Amin.

HAJI MUSTAFA HAJI AHMAD ( 1866 – 1927)

Ulama ini adalah anak jati Luak Sungai Ujung yang terbilang dalam dakwah Islamiah di akhir abad ke 19 dan awal abad ke 20. Beliau dilahirkan di Linggi dalam tahun 1866( 1283H) dan sejak kecilnya telah menunjukkan kecerdasan akalnya. Nama penuhnya ialah Mustafa bin Haji Ahmad.
Mengaji Di Mekah
Haji Mustafa belayar ke Mekah Al Mukarramah dan mengaji selama 23 tahun. Oleh kerana datuknya seorang yang berada iaitu Dato’ Muda Linggi Haji Mohd Peral maka segala perbelanjaannya di sana ditanggung sepenuhnya oleh datuknya. Peluang di sana tidak disia-siakan, beliau benar-benar menimba ilmu dan akhirnya diibaratkan sebagai lubuk ilmu apabila pulang ke tanahair.
Berjalan kaki
Diriwayatkan ulama ini sanggup berjalan kaki berbatu-batu jauhnya untuk mengajar agama dan berdakwah. Perhubungan jalan raya yang sukar dan kekurangan kenderaan waktu itu tidak melemahkan jihadnya untuk mengimarahkan ilmu di dada. Banyaklah masjid dan surau-surau yang menjadi madrasahnya menyampaikan ilmu dalam negeri ini. Mungkin jodohnya apabila berdakwah di Johol, beliau berkahwin dengan anak seorang ulama yang juga terkenal iaitu Haji Abdul Majid Haji Ibrahim. Beliau dianugerahkan dua orang cahaya mata. Seorang anaknya telah mewarisi jejaknya menjadi pendakwah dan pernah belajar agama di India. Penyusun buku Alim Ulama Negeri Sembilan, Nawawi Haji Indek menyatakan bahawa beliau pernah melihat sendiri lebih 500 buah kitab yang pernah digunakan oleh Ulama ini ketika hidupnya.
Kembali Ke Rahmatullah
Allahyarham Haji Mustafa meninggal dunia dalam bulan Febuari 1927 bersamaan tahun Rajab 1345 Hijrah. Nawawi Haji Indek sempat merakamkan dalam bukunya, Sheikh Haji Ahmad Haji Muhamad Said telah menyatakan kesedihan dan kepiluan hatinya apabila mengenang kembalinya tiga ulama dalam awal abad ke 20 itu dalam madahnya ( terjemahan dari Bahasa Arab) :

Sesungguhnya telah hilanglah fikiran dalam peringatan
Ketika didengar kehilangan tiga orang pahlawan handalan
Mulanya yang dikasihi Tuhan, ayahanda kami yang bersih ditimpa
Dan bapa saudara kami Abbas dan kemudiannya Mustaffa
Berpindah mereka ke dalam rahmat yang bercucuran
Bertempat mereka di dalam syurga yang berkekalan.

Sheikh Haji Muhamad Said Jamaluddin ( 1875 – 1926 )

Nama penuhnya tokoh besar ini ialah Haji Muhammad Said bin Haji Jamaluddin. Beliau adalah anak Tuan Sheikh Haji Jamaludin Haji Idris bin Haji Mokmin bin Nakhoda. Ibunya Hajah Safiah Haji Muhamad Saleh Al Fatani berasal dari Patani, seorang pembaca Al Quran yang terkenal dan pernah menjadi guru qiraati semasa di Mekah. Datuknya Haji Muhamad Saleh juga seorang ulama terkenal dan berkahwin dengan Mariam, anak kepada ulama Sheikh Abdul Rashid Al Fatani.

Tempat Lahir
Allahyarham ini dilahirkan di Kota Mekah di Kampung Shaab Ali atau disebut juga Syi’b Ali pada hari Sabtu 4 Syaaban 1292H bersamaan 25 atau 18 September 1871( kiraan penyusun) tetapi catatan Nawawi Haji Indek dalam tahun 1873 dan Ismail Che Daud pada 1875. kemudiannya beliau dibawa balik ke Patani dalam tahun 1882 ketika berusia 7 tahun. Di sana Muhamad Said dipelihara oleh ibu dan neneknya ( Mariam).

Pendidikan
Tokoh yang kita bicarakan ini memang bertuah kerana dilahirkan dalam rumah tangga orang-orang alim. Ibunya adalah pendidik awal kepada Muhamad Said hingga berjaya membentuk jiwanya berkeperibadian luhur dan mulia. Selepas itu dia mula berguru dengan beberapa ulama di Patani seperti Sheikh Zainal Abidin Muhamad ( Tuan Minal), Haji Awang @ Dato’ Semela, Dato’ Nahu dan Sheikh Muhamad Nuh dari Kedah. Kecerdasan dan ketekunannya dalam menuntut ilmu begitu terserlah.

Diriwayatkan apabila usianya menjangkau 17 tahun, beliau pun belayarlah ke Mekah Al Mukarramah tempat ianya dilahirkan. Di Mekah, Muhamad Said menuntut ilmu agama kepada lebih 50 orang guru. Antara guru-gurunya ialah Sheikh Muhamad Sulaiman, Hasbullah al Maliki, Muhamad Nawawi al Batani dan ramai lagi. Beliau juga sempat berguru dengan Sheikh Jafar al Barzanji di Madinah. Ketika di Al Azhar pula, beliau mengaji dengan Sheikhul Azhar ketika itu Sheikh Al Ambabei dan Sheikh Ahmad Al Rifa’i Al Maliki dalam tahun 1896.
Sekembalinya beliau ke Mekah, dia telah mengambil tarekat dengan Sheikh Muhamad bin Ahmad Al Dandarawi dan mendapat ijazah Tarekat Ahmadiah pada tahun 1318 Hijrah ( 1901). Beliau dikatakan alim dalam ilmu alat, usulludin, fiqh 4 mazhab, ilmu rohani, hikmat, falsafah dan lain-lain lagi.

Balik Ke Tanahair
Terdapat perbezaan tarikh jangkaan beliau balik ke tanahair. Dalam catatan Ismail Che Daud dinyatakan beliau kembali sekitar tahun 1902/ 1320 H. Bagi Nawawi Hj Indek pula pada tahun 1900 sewaktu ia berusia 27 tahun. Beliau telah menetap di Ampangan, Seremban dan mula mengajar agama serta menyibarkan tarekat Ahmadiah. Sheikh Haji Muhamad Said adalah khalifah atau wakil peribadi Sheikh Muhamad Al Dandarawi bagi kepulauan Melayu atau tanah Jawi. Pondoknya dibina di Ampangan, Seremban. Pondok ini dikatakan yang pertama diwujudkan di negeri ini dan ramai murid-murid dari serata tempat dalam Negeri Sembilan dan luar datang memondok di sana. Selain dari itu beliau juga keluar memberi kuliah di masjid dan surau.

Dalam menjalankan kerja dakwah dan mengajar agama kepada anak bangsanya, beliau terpaksa menghadapi mehnah dan tribulasi sebagai daie. Apatah lagi ketika suasana negeri masih terjajah dan serba mundur yang menyebabkan peluang mendapatkan pendidikan khasnya ilmu agama amat terbatas. Kedudukan kawasan penempatan yang sukar dihubungi, jauh dan tiada tokoh-tokoh agama memimpin boleh menyebabkan budaya khurafat, bidaah dan adat-adat menyalahi syariat berleluasa. Kita amat bersyukur apabila ada ulama yang tampil membawa suluh memimpin ummah dari dahulu hingga sekarang. Ramai kalangan orang-orang alim waktu itu membuka kelas pengajian agama atau membina pondok untuk mendidik anak bangsa dengan ilmu agama. Muhamad Said turut mengikuti jejak langkah bapanya Sheikh Jamaluddin Haji Idris dengan membuka pondok pengajian.

Beliau juga merantau banyak tempat seperti di Indo China, Siam, Kedah, Pahang, Singapura dan Kelantan dalam kegiatan dakwah disamping menyibarkan tarekat Ahmadiahnya. Difahamkan ada sebuah masjid yang diasaskan oleh Sheikh Muhamad Said di Bangkok dan beliau turut mengislamkan seorang Raja Siam. Kisah menarik raja menganut Islam ini bermula apabila raja tersebut bermimpi bertemu seorang yang mulia yang mukanya berseri-seri. Baginda telah memanggil seorang sami besar untuk mentafsirkan mimpinya. Sami tersebut menyarankan supaya baginda bertanya kepada seorang alim Islam yang menurut pandangannya akan datang ke negeri itu. Sheikh Muhamad Said dalam perjalanan dakwahnya ke Siam telah dijemput ke istana dan dipendekkan cerita, beliau telah mentafsirkan lelaki mulia dalam mimpi raja itu ialah Rasulullah SAW. Selepas itulah raja itu diislamkan oleh Sheikh Muhamad Said.

Pernah berlaku di Kelantan dalam tahun 1905, berlaku kegemparan kalangan rakyat negeri lantaran pembawaan Tarekat Ahmadiah cara Sheikh Muhamad Said. Kaedah zikir tarekatnya boleh menimbulkan keasyikan atau seakan mabuk. Ramai ulama tempatan menentang gaya ini. Ekoran dari kegemparan ini Sultan Kelantan ketika itu telah menulis surat bertarikh 12 November 1905 kepada tokoh ulama Kelantan yang bermukim di Mekah iaitu Wan Ahmad Haji Wan Din ( Wan Muhamad Zainal Abidin) untuk mendapat penjelasan atas kegemparan tersebut.

Sheikh ini juga dianggap pembenteng aliran kaum tua kerana beliau tidak memberi tempat kepada pengaruh kaum muda atau lebih dikenali Wahabi itu meluaskan pengaruhnya di negeri ini. Malah dalam manakib Sheikh Muhamad Said Al Linggi ada menyatakan pandangan dan bidasan beliau yang keras terhadap aliran ini. Walau bagaimanapun, penyusun tidak berhasrat untuk menyentuh perbezaan pendapat aliran-aliran tersebut di ruangan ini kerana beberapa tokoh dalam bibliografi ini ada juga kalangan ulama aliran kaum muda yang mempunyai peranan besar dalam meninggikan syiar Islam di negeri ini. Kita berdoa agar ulama yang berjasa besar tersebut mendapat limpahan rahmah dari Allah SWT jua.

Perkahwinan
Sheikh Muhamad Said ketika di Kelantan menetap di rumah mertuanya Haji Awang Alim di Kota Bharu. Beliau berkahwin dengan Hajah Safiah Haji Awang semasa di Mekah lagi. Menurut riwayatnya, Sheikh Muhamad Said pernah berkahwin sebanyak 9 kali dan mempunyai anak seramai 32 orang. Zuriatnya ramai menjadi tokoh-tokoh agama yang disegani sehingga sekarang. Umum telah mengetahui bahawa tokoh ini amat warak dan dianggap sebagai wali Allah lantaran beberapa kelebihan semasa hidupnya. Orangnya berkeperibadian sederhana, zuhud, kuat beribadah dan suka menolong orang susah. Dikatakan Almarhum Tuanku Muhamad, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ( 1888 – 1933 ) dan Dato’ Kelana Ma’mur ( 1889 – 1945 ) sangat menghormati dan mengasihi Sheikh ini. Malah pernah ditawarkan jawatan kadhi tetapi beliau menolaknya. Semasa hayatnya, ulama terbilang ini kerap menjadi rujukan dalam permasalahan agama. Beliau juga banyak meninggalkan hasil tangan berupa kitab-kitab seperti berikut:

1. Syarh Kunuz al Jawahir al Nuraniyat Fi Qawaid al Tariqat al Shadhiliyah ( 1905).
2. Al Ahzab al ‘Irfaniyyat Wa al Awrad al Nuraniyah ( 1905).
3. Kashf al Ghiba an Haqiqat al iba.
4. Risalah Fath.
5. Sullam al Ta’rif ila ‘llm al Tasrif.
6. Manuskrip Syair Arab, berkaitan kupasan tentang permasalahan golongan Wahabi.

Meninggal Dunia
Pada 12 R’awal 1345 bersamaan 20 September 1926, Ulama terbilang ini menghembuskan nafas terakhirnya. Jasadnya dihantar ke tanah perkuburan berhampiran Kebun Bunga Seremban oleh ribuan anak muridnya termasuk Almarhum Tuanku Muhamad sendiri.


Sheikh Haji Abdullah Haji Muhamad Said ( 1905 – 1956 )

Beliau adalah antara anak-anak Sheikh Haji Muhamad Said menjadi khalifah Tarekat Ahmadiah dan alim selepas bapanya. Dilahirkan pada tanggal 1905 di rumah kaum kerabatnya di Jalan Melayu, Kuala Lumpur ( mungkin di kawasan perniagaan terkenal sekitar Masjid India sekarang). Ibunya orang Rembau bernama Siti Zubaidah Haji Said. Masa kecilnya beliau tinggal di Bukit Tembok, Seremban dan bersekolah di Sekolah Melayu Temiang dan meneruskan pendidikan agama dengan asuhan bapanya sendiri selama 12 tahun. Sheikh ini telah menerima Khalifah Tarekat dari bapanya.

Allahyarham menunaikan haji dalam tahun 1930. Beliau sempat berguru dengan Sidi Abu Abbas bin Sidi Muhamad bin Ahmad Al Dandarawi yang terkenal itu. Apabila balik ke tanahair, beliau mula mengajar agama dengan membuka pondok. Anak-anak muridnya yang tinggal di pondok dalam satu masa dianggarkan 70 orang, mereka datang dari serata negeri ini dan juga dari Selangor. Di samping itu, beliau turut aktif mengajar di masjid-masjid dan suraunya di Ampangan. Tuan Haji Muhamad Mustaffa yang turut disentuh dalam senarai ulama negeri ini adalah sahabat karib Sheikh ini.

Almarhum Tuanku Abdul Rahman, Yang Dipertuan Agong Pertama itu turut berguru dengan Sheikh Haji Abdullah. Jesteru itu kita melihat dalam era pemerintahan baginda, kecenderungan untuk menghayati agama begitu menonjol misalnya baginda perkenan menjadikan Balai Istana Seri Menanti dijadikan tempat perbahasan agama di antara Maulana Lebai Maadah bin Layang dengan Tuan Haji Muhamad Mustaffa ( kedua tokoh ini turut dirakamkan dalam koleksi ini) dan majlis itu dipengerusikan oleh Tengku Burhanuddin kerabat Diraja ketika itu. Baginda juga dilaporkan turut membiayai penubuhan Madrasah Aliah Islamiah Kuala Pilah yang ditubuhkan oleh Lebai Maadah.

Tuanku Abdul Rahman telah memberi tauliah mengajar agama dan membawa Tarekat Ahmadiah kepada syeikh ini. Miskipun begitu, beliau telah menolak sebarang jawatan agama yang ditawarkan kepadanya. Allahyarham sangat dihormati oleh masyarakat dan sebagai pemimpin tarekat yang sholeh dan berbudi luhor. Beliau suka berterus terang dalam menyampaikan dakwah dan ikhlas menolong orang-orang yang susah. Dikatakan bila ada orang-orang yang suka melakukan perkara-perkara yang mungkar, beliau akan memberi nasihat dan teguran supaya mereka bertaubat.Allahyarham Sheikh Haji Abdullah meninggal ketika usianya 51 tahun dalam tahun 1956. kehilangannya begitu dirasai oleh penduduk negeri ini kerana dikatakan ia dianggap pakar rujuk dan doa-doanya kerap kali pula diperkenan oleh Allah SWT.

Sheikh Haji Ahmad Haji Muhamad Said ( 1912 – 1964 )

Sheikh Haji Ahmad adalah adik kepada Sheikh Haji Abdullah. Beliau dilahirkan di Kampung Bukit Ampangan Seremban pada 26 Rabiulawal 1328 bersamaan 1912 dan meninggal dunia pada 7 Januari 1964. tetapi dalam buku keluaran Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu kelantan bertajuk ” Tokoh – Tokoh Ulama Semenanjung Melayu (1) – 2001 halaman 236, tarikh lahir ulama ini ialah 6 April 1910. Haji Ahmad menjadi Khalifah Tarekat Kedua selepas Haji Abdullah.Pendidikan Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Ampangan hingga tamat. Sebagaimana abangnya, beliau kemudiannya mendapat didikan langsung dari bapanya. Beliau menunaikan haji sewaktu berusia 15 tahun selepas kematian bapanya dan melanjutkan pengajian agama di Mekah selama 7 tahun.

Kalau mengikut tempoh ke Mekah itu, memberi gambaran bahawa beliau lebih dahulu menunaikan haji dan melanjutkan pengajianya berbanding Haji Abdullah. Di Mekah, Haji Ahmad berguru dengan beberapa ulama terkenal seperti Sheikh Ali Al Maliki, Sheikh Abd Sattar Al Kutubi, Sheikh Said Al Yamani dan Sheikh Abdul Hai Al Kattani. Beliau seorang penuntut yang sangat tekun belajar dan dikasihi guru-gurunya. Sebagai tanda kecemerlangan beliau, guru-gurunya telah memberi Akuan ( Ijazah) kepada Haji Ahmad ini. Sekembalinya ke tanahair tahun 1934 beliau mendirikan madrasah yang dinamakan As Saidiah di Rasah. Ramai ulama negeri ini yang mendapat asuhan agama dari beliau. Antaranya ialah Tuan Guru Haji Ali Silau dan Dato’ Tan Haji Ahmad Muhamad Zain. Sheikh Ahmad ini sepertimana Allahyarham bapanya turut menguasai ilmu agama dalam bidang-bidang seperti Usulludin, syariah, tasawuf, nahu-saraf, falak dan pemegang khalifah tarekat Ahmadiah.

Lantikan Sebagai Mufti
Apabila Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan ditubuhkan, beliau telah dilantik sebagai Mufti Kerajaan yang pertama dan selalu diutamakan dalam majlis-majlis rasmi negara yang diadakan di Istana Negara Negara Kuala Lumpur, ini mungkin kerana Yang Dipertuan Agong Pertama ketika itu ialah dari Negeri Sembilan. Tambahan pula Tuanku Abdul Rahman amat rapat dengan keluarga Sheikh ini.Atas khidmat cemerlangnya, Negara telah mengurniakan bintang Ahli Mangku Negara dan negeri pula mengurniakan Pingat Jasa Kebaktian kepada Allahyarham. Maklumat lanjut ulama ini boleh dilayari laman web Mufti Negeri Sembilan.

Hasil Karangan
Difahamkan Sheikh Haji Ahmad banyak mengarang buku-buku dan risalah keagamaan. Antaranya ialah kitab Tuhfatul Autan, Safinatul Salamah, Kaifiat Sholat Tarawih, Al Kaulul Wafi, Firaidul Maksir, Kanzul Muiz, wirid-wirid tarekat Ahmadiah dan teks khutbah untuk masjid-masjid negeri ini.

Meninggal Dunia
Pada 7 Januari 1964 ( 21 Shaaban 1383) jam dua petang ( Selasa), Haji Ahmad ini menghembuskan nafas terakhirnya ketika masih menjawat jawatan Mufti. Beliau dikebumikan di samping makam bapanya dalam usia 52 tahun. Beliau telah meninggalkan beberapa anak turut berjasa kepada agama seperti Mufti Dato’ Mufti Negeri Sembilan, Haji Mohd Murtadza bin Haji Ahmad, beliau adalah pemegang Khalifah Tarekat Ahmadiah sekarang. Manakala adiknya Syeikh Faiz merupakan tokoh ulama yang disegani dan pernah menuntut di Mesir dalam tempoh waktu yang lama. Mereka ini menjadi rujukan dan guru tarekat di negeri ini.

SHEIKH HAJI AHMAD BIN SHEIKH MOHD SAID – MUFTI PERTAMA
Pemilihan Tuan Sheikh Haji Ahmad bin Haji Mohd Said sebagai Mufti Kerajaan Negeri Sembilan bukanlah atas permohonan beliau seperti yang lazim dilakukan sekarang ini. Jawatan ini di tawarkan oleh Menteri Besar yang pertama iaitu Dato’ Haji Abdul Malik bin Yusuf (1948 – 1950). Jawatan yang di tawarkan kepada beliau juga telah dipersetujui oleh para ulama’ di Negeri Sembilan, dalam satu persidangan. Pada peringkat permulaan tawaran ini ditolaknya, tetapi atas desakan yang kuat dari pembesar dan ulama’ di Negeri Sembilan ini beliau merestui memegang jawatan ini dan merasakan rakyat Negeri Sembilan khasnya amnya memerlukan beliau dalam memimpin mereka ke arah jalan yang diredhai Allah.

Tuan Sheikh Haji Ahmad seorang yang berfikiran terbuka tetapi terkenal dengan sifat tegasnya. Beliau tidak mudah diperalatkan oleh pihak pemerintah (sama ada dari kerajaan Pusat ataupun dari kerajaan pihak pemerintah Inggeris). Ini jelas membuktikan karisma beliau sebagai seorang pemimpin yang berupaya menghadapi tentangan zaman dan sentiasa dihormati.

Di samping terkenal dengan ketegasannya dalam perkara yang jelas bertentangan dengan kehendak syari‘at, beliau juga terkenal dengan kecekapan dalam menjalankan tugas. Selaras dengan tugasnya sebagai Mufti. Beliau sentiasa menjadi tumpuan dan tempat rujukan dalam menyelesaikan permasalahan masyarakat setempat.

Karya-Karya Tuan Sheikh Haji Ahmad
Penjelasan Di sekitar Hukum Pungutan Zakat Fitrah Bagi Kerajaan Negeri Sembilan . (dikeluarkan oleh Jawatankuasa Syari‘ah Bahagian Siaran. Jabatan Agama Negeri Sembilan pada tahun 1960 bersamaan 1379H)
Pengertian Kepada Tariqat Ahmadiyyah , (suntingan dan ubahsuai bahasa oleh Mahmud Hj. Ahmad)
Risalah “al-Qawa‘id Li Samad al “Ariffin wal Qutub al Muhaqqiqin” (diterbitkan semula oleh Abdul Halim Haji Ahmad pada 25 April 1982 bersamaan 1 Rejab 1402H)
Ta‘lik Di atas Faedah Pada Menyelitkan Kaifiyyat Terawikh Sepuluh Raka‘at (dikarang pada tahun 1305H)
Safinah al-Salamah Ahwal al-Dunya wa Al-Barzakh wa al-Qiamah.
Kanzu al-Mu‘id Fi Manaqib al-‘Arif Billah (dicetak oleh Maktabah al-Ahmadiyyah, Singapura pada tahun 1952.
Perbahasan Berzikir Akan Allah Dengan Kuat , (diterbitkan di Kuala Pilah oleh Teruna Press pada tahun 1355H dan telah disunting dan diubahsuai bahasanya oleh Prof. Dr. Mahmud Saedon Awang Othman, 1986).
Aurad al-Tariqat al-Ahmadiyyah dan Kelebihan dan Tahfatun al-Ikhwan.
Majmu‘atun Musahatun bi Tahafuh al-Awtan wa al-Ikhwan , (dicetak di Singapura, al-Ahmadiyyah Press, 1354H/1935M.
‘Ittikaf Zawir al-Raghabat Bayan Karamat al-Aulia’ fi al-Hayat wa ba‘da al-Mamat atau Khasyf al-Ghamamah , (dicetak di Jawi Press, Singapura, 1368H.)
Al-Fuyudhat al-Ahmadiyyah fi fadhli wa Takhij ba‘du Kalimat al-Husn al-Mani’ al-Nabawiyyah.
Setengah Daripada Munaqib Guru-Guru Yang Mulia , (dicetak di Seremban, Sungai Ujung Press, 1354).

Disamping itu beliau juga mengarang khutbah-khutbah Jumaat yang menyentuh isu-isu semasa dengan mengemukakan pandangan-pandangan Islam untuk renungan masyarakat. Beliau meninggal dunia pada 7 Januari 1964/1345H.

DATO’ HAJI HASAN BIN SAIL – MUFTI KEDUA NEGERI SEMBILAN

Dato’ Haji Abu Hasan bin Haji Sail – dilahirkan pada 6 Ogos 1922 di Kg. Pulau Bukit Chengkau, Rembau, Negeri Sembilan. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan pulau Besar Rembau, Negeri Sembilan dari tahun 1929 hingga tahun 1933. Kemudian beliau menyambung pelajarannya di Madrasah al-Sa‘idiyyah Kg. Pondok, Rasah dibawah pimpinan allahyarham Sheikh Haji Ahmad.

Di madrasah ini beliau menimba ilmu-ilmu seperti Tauhid, Feqah, Tasawwuf, Tafsir, Hadith, Tajwid dan Tahfiz al-Quran. Tidak ketinggalan juga beliau diajarkan Ilmu Bahasa Arab seperti Nahu, Balaghah, Saraf, Nusus, Imla’ dan Bayan. Tarbiyah yang diterima oleh beliau di Madrasah ini merupakan sebagai permulaan sebagai ulama’ tempatan. Pada tahun 1937 beliau berangkat ke Timur Tengah untuk menyambung pelajarannya sehingga tahun 1945.

Semasa pengajiannya beliau tergolong bersama pelajar yang pintar dan mempunyai daya ingatan yang kuat. Tidak hairanlah sekembali beliau ke tanah air Kerajaan Negeri Sembilan telah melantik beliau memegang beberapa jawatan penting di negeri ini. Antara jawatan yang pernah beliau sandang ialah :
·Mudir Sekolah Agama Menengah Tinggi Seri Menanti, Kuala Pilah (1959 – 1961)
· Kadhi Besar Negeri Sembilan yang Pertama (1961 – 1969)
· Pemangku Mufti Kerajaan Negeri Sembilan (1963 – 1969)
• Mufti Kerajaan Negeri Sembilan yang kedua (1969 – 1987)

Penghormatan masyarakat sekitar terhadap beliau terlalu tinggi, beliau dikenali sebagai ulama’ yang tidak pernah membezakan taraf seseorang. Beliau juga dikenali seorang yang pendiam, tidak banyak bercakap dan bercakap jika dirasakan perlu. Sikap beliau yang demikian menyebabkan orang lain terpaksa berhati-hati apabila hendak berbual atau bergurau dengannya. Sepanjang beliau menjadi Mufti Kerajaan Negeri beliau sentiasa berlembut dalam memberi nasihat kepada pemerintah. Sikap seperti ini jauh berbeza dengan arwah gurunya Sheikh Haji Ahmad yang sentiasa tegas.

Kewibawaan dan ketokohan beliau dalam perkhidmatan membuatkan beliau menjawat dalam jawatan ini selama 18 tahun. Beliau kembali ke rahmatullah pada 10 Zulkaedah 1414H/1993M.

DATO’ HAJI MURTADZA BIN HAJI AHMAD – MUFTI KETIGA



Dato’ Haji Mohd Murtadza bin Haji Ahmad – Beliau dilahirkan pada 23 Safar 1356H bersamaan 5 Mei 1937. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Dato’ Shahbandar, Rasah. Kemudian meneruskan pengajiannya di Singapura bersama bapa saudaranya Tuan Haji Abdul Rasyid, dan kemudian di Sekolah Agama al-Atas, Johor Bahru hingga tahun 1956. Pada tahun 1957, beliau melanjutkan pelajaran di al-Mashor, Pulau Pinang. Kemudian tahun 1961 beliau menyambung pengajiannya ke luar negara iaitu di Maahad al-Kaherah dan seterusnya menuntut di Universiti al-Azhar, Cairo pada tahun 1967 hingga 1974.

Pengalaman dalam perkhidmatan :

• Bertugas sebagai guru Agama di Sekolah Agama Menengah Tinggi Bukit Merbah pada tahun 1974
• Menjadi Qadhi di Daerah Kuala Pilah dan Jempol sehingga tahun 1981.
• Menjawat jawatan Ketua Penerangan Agama dan merangkap Imam Besar Negeri Sembilan dari tahun 1981- 1984.
• Menjawat Ketua Penerangan Agama dan memangku Qadhi Besar bermula pada 31 Oktober, 1984 hingga bulan Ogos 1987.
• Bermula 10 Ogos, 1987 bertugas sebagai Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan Darul Khusus hingga sekarang.

BIODATA MUFTI KERAJAAN NEGERI SEMBILAN
Pada tahun 1943 Y.B Dato’ Mufti memulakan pembelajaran di Sekolah Kebangsaan Sega, Rantau. Selepas itu bapa Y.B Dato’ berpindah ke Mukim Nyatoh dan Y.B Dato’ bersekolah di Sekolah Kebangsaan Nyatoh. Selepas British kembali memerintah Malaysia Y.B Dato’ mula belajar di Sekolah Kebangsaan Dato’ Shahbandar Haji Ahmad, Rasah hingga tamat pada kelas 6.

1950 – Belajar di Madrasah Khairiah Singapura disamping belajar dengan bapa saudara Tuan Haji Abd. Rashid.
1951 – Berpindah ke Madrasah Al-Atas Johor Bahru – belajar agama di sebelah pagi di Madrasah Al-Atas dan di sebelah petang belajar di Sekolah Agama Air Molek.
1956 – Lulus Kelas Khas dan mendapat No. 3 daripada 1000 orang penuntut. Dan pada tahun yang sama lulus syahadah al-Iftida‘iyah di Madrasah tersebut.
Pada awal 1957 berpindah ke Madrasah Al-Manshoor, Pulau Pinang hingga 1960. Kemudian lulus ujian dan dilantik menjadi guru sementara di Madrasah Al-Manshoor, Pulau Pinang.
Bulan Ogos 1960 bertolak ke Al-Azhar. Mula-mula belajar di Maahad Al-Bu‘us. Oleh kerana al-Azhar menerima perubahan baru zaman Sheikh Mahmud Shaltud dan Dr. Mohd Bahai, Menteri al-‘Aukuf. Semua pelajar-pelajar diarah menerima sistem baru palajaran sains dan agama di al-Azhar dan saya diantara yang kekal sehingga mendapat shahadah Senawi di Maahad al-Kaherah.
1965 – Mendapat sijil menengah al-Azhar.
1966 hingga 1973 – Mengaji di Universiti al-Azhar dalam kuliah al-Syariah al-Qanun.
1973 – Lulus Sarjana al-Azhar.

Sepanjang di Mesir beliau terlibat dengan Persatuan Melayu Mesir (PMRAB). Menjawat beberapa jawatan terpenting Persatuan tersebut dan berkawan rapat dengan ramai sahabat di Malaysia sekarang diantaranya Dr. Yusof Nor, Dr. Abdul Hamid Othman, Dato’ Hashim Yahya, Ust. Azizan Abdul Razak, Sheikh Mohsin, Dr. Ismail Ibrahim, almarhum Tan Sri Sheikh Mohsin, Ust. Fadhil Nor, Dr. Daing Sanusi, Ust. Sulaiman Yasin, Dato’ Nik Aziz dan pelajar-pelajar Brunei , Singapura , Indonesia , Filipina dan Muldip dan terlibat bersama-sama rakan Malaysia membentuk Pakatan Mahasiswa Asia Tenggara. Tamat pengajian pada tahun 1973 dan berada di Malaysia pada tahun 1974.

1974 – Bertugas sebagai Guru Sementara di SMKA Sheikh Hj. Mohd Said, Seremban
1976 – Menjadi Qadhi Daerah Kuala Pilah / Jempol dan Hakim Mahkamah Syariah Daerah Kuala Pilah dan Jempol.
10.9.81 – Dilantik menjadi Ketua Pegawai Penerangan merangkap Imam Besar Masjid Negeri.
10.7.84 – Ketua Pegawai Penerangan memangku Qadhi Besar Negeri Sembilan dan Hakim Mahkamah Qadhi Besar seluruh Negeri Sembilan. Dalam tempoh ini beliau telah dihantar menghadiri beberapa kursus yang diadakan samada di Kuala Kubu, JAKIM, 2 minggu menghadiri kursus Imam-Imam di Sabah atas kerjasama Kerajaan Malaysia dan Libya . Kemudian kursus Imam-Imam seluruh dunia di Mesir selama 3 bulan (Mac – Jun 1986) bersama-sama 11 orang Pegawai Agama seluruh Malaysia atas pilihan JAKIM.
Sepanjang menjadi Qadhi telah dihantar menghadiri beberapa kursus Qadhi-Qadhi seluruh Malaysia .
1987 – Dilantik menjadi Mufti Kerajaan Negeri Sembilan sehingga sekarang.Sepanjang berkhidmat beliau dikurniakan 3 pingat :
1983 – PJK
1986 – PMC
1988 – DSNS